Kejayaan pasukan Tariq ibn Ziyad menguasai kota Andalus pada tahun 711M sehingga ke tampuk kerajaan “Nasriyyah” atau “Bani Ahmar”
yang mengakhirinya pada tahun 1492M, pernah melakarkan catatan
pemerintahan Islam yang hebat. Tempoh tersebut hampir mencapai lapan
abad! 800 tahun, suatu jarak yang seharusnya menjadi renungan buat
masyarakat Islam di seluruh dunia.
Tempoh tersebut membuktikan betapa kemunculan Tamadun Barat ada
kaitannya dengan kecemerlangan Tamadun Islam yang telah terbina di
Andalus. Ketika itulah dikatakan bahawa zaman intelektual berkembang
megah dengan munculnya tokoh-tokoh Islam kawakan seperti Ibn Hazm
(994M-1064M), Ibn Rushd (1126M-1198M), Ibn Bajjah (1082-1138M), Ibn Zuhr
(1091-1162M) dan ramai lagi. Termasuklah golongan elit Kristian yang
dipimpin oleh filosof terkenal Thomas Aquinas (1225M-1274M) dan
Maimonides (1135M-1205M), seorang ahli teologi yang pernah terkenal di
Andalus ketika pemerintahan Islam, sedangkan beliau berbangsa Yahudi.
Kejayaan Islam membina ketamadunan di Andalus, sesungguhnya sesuatu yang
sangat mengkagumkan. Lebih memberi kesan jika ia turut ditinjau dari
aspek perkembangan dan kejatuhan Andalusia itu sendiri demi mencari
kesimpulan yang baik oleh kita semua.
Secara integral, para sejarawan bersepakat menyatakan bahawa kedatangan
Islam ke Andalusia adalah di bawah pimpinan Tariq ibn Ziyad. Beliau
adalah tokoh Islam terkenal telah memimpin pasukan tenteranya
mengharungi Gibraltar (asalnya Jabal Tariq) yang memiliki kedudukan
strategik pintu gerbang para pedagang antarabangsa, di mana para
pedagang lazimnya menggunakan laluan tersebut bagi mengharungi lautan
Atlantik dan Mediterranian.
Sebelum pembukaan Islam, wilayah Andalus dimonopoli secara rakus oleh
golongan bangsawan (noble lord) sehingga berlaku penindasan terhadap
golongan bawahan. Krisis ini menyebabkan ramai rakyatnya yang tidak
berpuas hati dengan pihak pentadbiran negara mereka. Kesannya
menyebabkan banyak tanah pertanian terbiar beku, industri-industri
terpaksa ditutup dan ia sekaligus melumpuhkan ekonomi Andalus.
Menyedari kepincangan itu, Gabenor “Visigothic” (Visigoth) iaitu
Count Julian berpaling tadah dan menentang Raja Don Roderick, beliau
turut bekerjasama dengan Tariq ibn Ziyad untuk mengembalikan keadilan di
wilayah tersebut. Pendirian Julian itu juga diriwayatkan ada kaitannya
dengan tindakan Don Roderick yang merogol isteri dan anak perempuannya.
Tariq ibn Ziyad memimpin pasukan Islam hanya berjumlah 7000 orang,
berdepan pula dengan tentera Don Roderick yang berjumlah seramai 100 000
orang. Lalu bagi meningkatkan semangat pasukan tenteranya di perlawanan
yang tidak seimbang ini, dikatakan bahawa Tariq ibn Ziyad mengarahkan
agar kapal mereka dibakar sambil digambarkan beliau berpidato;
أيها الناس؛ أين المفرُّ؟! والبحر من ورائكم والعدوُّ أمامكم، فليس لكم والله! إلاَّ الصدق والصبر
"Wahai saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di
depan kalian, ke manakah kalian akan lari? Demi Allah, yang kalian
miliki hanyalah kejujuran dan kesabaran..."
Kalimat tersebut dikobarkan oleh Tariq ibn Ziyad bagi menaikkan semangat
pasukan tentera Islam dan akhirnya tercatat dalam sejarah penyebaran
Islam ke Andalus. Walau bagaimanapun ia diragui oleh sesetengah pengkaji
terutama hal yang melibatkan pembakaran kapal kerana usaha menakluk
Andalusia pada peringkat pertama melalui jalan laut sebenarnya dirintis
awal oleh Tarif ibn Malik atau dikenali Abu Zurah bin Malik al-Nakha'ei.
Tarif yang mula-mula bersama kekuatan pasukan armada laut bagi meraih
jalan ke arah penaklukan Semenanjung Iberia itu. Hal itu telah mendorong
Gabenor Qayrawan, Musa ibn Nusair dan seterusnya Tariq ibn Ziyad
bergerak bersama demi menakluk Andalus. Oleh itu ada keraguan bagi Tariq
mengarahkan kapal dibakar kerana sepatutnya Tarif yang lebih layak
memerintahkan begitu. Kerana Tarif memimpin kekuatan armada, sedangkan
Tariq memimpin kekuatan artileri.
Kemenangan tentera Islam menguasai medan Gibraltar telah membuka ruang
untuk pasukan Islam terus menguasai Andalus sehingga Tariq dapat
meneruskan penguasaan ke Cordova dan Toledo. Kemenangan demi kemenangan
dapat dicapai oleh tentera Islam dalam usaha melebarkan kerajaan Islam
di bumi Eropah termasuk Bandar Zaragoza, Leon, Malaga, Sevilla dan
beberapa buah bandar lain.
Sejak dari itu, Islam mula tersebar luas ke seluruh Andalusia dan
bermulalah penguasaan Bani Umayyah di Andalus. Khalifah Bani Umayyah
yang berpusat di Dimashq telah mewakilkan beberapa orang Gabenor untuk
mentadbir Andalus. Seramai 20 orang Gabenor telah mentadbir Andalus dari
tahun 718-756M. Gabenor yang pertama ialah Abdul Aziz ibn Musa ibn
Nusayr dan yang terakhir ialah Yusuf ibn Abdul Rahman al-Fihri.
Apa yang menarik untuk diperhatikan sejarah pemerintahan Andalus ini
ialah pemerintahannya kekal di bawah penguasaan kerajaan Bani Umayyah,
walaupun kerajaan Bani Abbasiyah telah mula bertapak dan berpusat di
kota Baghdad bermula pada tahun 132H/ 750M. Ini bermaksud, walaupun
kerajaan Islam yang memimpin majoriti umat Islam sudah beralih kepada
Bani Abbasiyah, namun Andalus terus diungguli oleh para pemerintah dari
kelompok Umayyah.
Fakta sejarah mengakui bahawa sebelum Islam membuka Andalus, masyarakat
Kristian Eropah hidup di dalam kejahilan dan kegelapan pimpinan
Roderick. Lantas, usaha-usaha dilakukan oleh pemerintah Islam di Andalus
telah memberikan impak positif sehingga Barat kemudiannya dapat membina
tamadun mereka yang membanggakan pada hari ini.
Pada peringkat awal, pemerintah Islam berjaya mengawal masyarakat di
Andalus walaupun mereka mempunyai pelbagai latar belakang. Ada di
kalangan mereka berbangsa Yahudi, Barbar, Islam, Kristian dan lain-lain.
Kecemerlangan dapat dicapai apabila masyarakat berbilang kaum ini dapat
dijaga dengan sempurna. Namun, antara punca kejatuhan kerajaan Islam
Andalusia ini juga turut disebabkan oleh kepelbagaian budaya yang
merenggangkan hubungan erat sesama mereka. Fahaman racist yang menebal
akhirnya mengakibatkan Andalus turut menjadi lemah.
Sebenarnya pemerintahan Islam di Andalus berjaya menjamin hak-hak asasi
kaum lain sehingga mereka boleh membantu dalam usaha meninggikan
tamadunnya. Gambaran ini dapat difahami menunjukkan bahawa perpaduan
antara kaum berasaskan jaminan terhadap hak-hak kaum minoriti sebenarnya
mampu mewujudkan kestabilan selagi mana ia tidak bertentangan dengan
akhlak Islam. Oleh sebab itu, kita dapat menyaksikan tamadun Islam
Andalus menguasai dunia dan meniti di bibir umat manusia.
Namun begitu, seakan sudah menjadi lumrah zaman bahawa di sana ada
kitaran ketamadunan seperti yang dibicarakan oleh Ibn Khaldun di dalam "Muqaddimah"-nya
sebagai sunnatuLlah. Kitaran ketamadunan yang dibicarakan Ibn Khaldun
di dalam kitabnya, dan pernah dikembangkan lagi oleh Syeikh Rashid Redha
sebagai sunanul kawniyah, menyebabkan kita berfikir bahawa segala apa
yang berada dipuncak pasti akan melalui tempoh kejatuhan.
Kitaran inilah yang turut melanda Andalus sehingga kejayaan yang dibina
semakin lama semakin menyusut dan menunjukkan ketidakmampuan untuk
dipertahankan. Apa yang dimaksudkan ialah ketidakmampuan untuk
mempertahankan penguasaan Islam di sana dari sudut prestasi politik
pentadbiran, bukannya dari sudut kecemerlangan intelektual dan fizikal.
Kejatuhan Andalus tidak berlaku sekelip mata, tetapi melalui proses yang
panjang. Sayangnya, tiada dikalangan pemimpin umat Islam ketika itu
yang berjaya mempertahankan Andalus. Tiada Salahuddin Al Ayubi, tiada
Saifuddin Qutuz, dan tiada Muhamad al-Fateh. Bibit-bibit kejatuhan
bermula setelah pemerintahan Andalus dijuzukkan kepada kerajaan-kerajaan
kecil.
Andalusia yang diperintah oleh satu kerajaan, satu khalifah, berpecah
menjadi 20 buah kerajaan kecil. Pembentukan kerajaan-kerajaan kecil ini
turut dikenali sebagai Muluk al-Tawa'if, ia wujud disebabkan
semangat puak, sikap fanatik terhadap bangsa. Mereka tidak langsung
berpegang kepada semangat Ukhuwwah Islamiyah dan seakan menjurus kepada
ketuanan kaum sesama sendiri.
Fenomena ini berlaku setelah pucuk pimpinan di Cordova menghadapi
masalah dalaman iaitu bergaduh dan bercakaran, malah ada yang saling
menindas untuk merebut kuasa khalifah dan penguasaan wilayah. Akibatnya,
Cordova yang masyhur di dalam Bahasa Arab sebagai "al-Qurtubah"
akhirnya menjadi bandar yang terakhir jatuh sepenuhnya ke atas Raja
Ferdinand. Ia berlaku pada zaman pemerintahan terakhir Andalus di bawah
Bani al-Ahmar yang menguasai wilayah terakhir di Granada dari tahun
620H-897H. Penyerahan wilayah terakhir ini terpaksa dilakukan demi
menyelamatkan maruah pemerintah Islam di bawah pimpinan Abu Abdullah
daripada digulingkan dengan cara yang lebih teruk.
Ketika Bani Ahmar memerintah Andalusia, wilayah pemerintahan mereka
sudah gugup dan menguncup, tidak lagi sepertimana pada zaman
kegemilangan pemerintahan Abdul Rahman III. Secara khusus, pemerintahan
mereka hanya melibatkan wilayah Granada sahaja yang menjadi daerah
terletaknya istana yang masyhur iaitu istana Al-Hamra' atau dalam bahasa
Sepanyol hari ini lebih dikenali sebagai al-Hambra.
Berlaku perselisihan keluarga dalam hal mewarisi kepimpinan, pergolakan
anak-beranak diraja berlaku dan seterusnya melemahkan lagi pemerintahan
Islam di Granada. Sikap Abu Abdullah yang hilang pertimbangan dan tidak
berpuas hati dengan pewarisan takhta yang diputuskan oleh bapanya,
menyebabkan beliau memberontak sehingga sanggup mengorbankan nyawa
bapanya. Namun, takhta pemerintahan tetap tidak menyebelahi Abu
Abdullah.
Tetapi kerakusan Abu Abdullah tidak padam, bahkan perancangan dibuat
dalam bentuk kerjasama dengan Raja Ferdinand untuk merampas kembali
takhta pemerintahan. Rampasan itu berjaya, ringkasnya Abu Abdullah dapat
menduduki takhta tetapi bagi jangkamasa yang relatif disebabkan tekanan
dari Ferdinand untuk mendapatkan habuan. Habuannya tidak lain tidak
bukan ialah penyerahan wilayah Granada kepada kerajaan Ferdinand, lantas
masyhurlah Ferdinand yang beristerikan Isabella itu sebagai
satu-satunya raja yang berjaya menumbangkan kerajaan Islam di Andalus.
Kejatuhan Andalus rupanya adalah kelemahan pemerintahan sanggup
menggadai prinsip demi mendapat bantuan sokongan untuk menduduki takhta
yang hanya mampu dicapai buat sementara waktu sahaja. Selain itu ia
turut disebabkan beberapa faktor internal dan eksternal, iaitu :
- Tiada mekanisme dalam mencari pengganti yang layak untuk meneruskan pemerintahan di Andalus. Kebanyakan mereka hanya mewariskan kepimpinan melalui sistem monarki yang pada waktu itu sudah korup, tiada akauntibiliti dan hilang integriti di mata rakyat.
- Tiada wala' terhadap khalifah yang sah mentadbir kerajaan. Masing-masing menyimpan hasrat untuk menguasai wilayah pemerintahan sehingga berlaku perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.
- Tiada kesepakatan (wehdatul fikri dan wehdatul amal) dalam mentadbir wilayah yang dikuasai sehingga wujud perbezaan pemerintahan antara satu wilayah dengan wilayah yang lain.
- Perbezaan fikrah yang wujud sehingga hilang adabul ikhtilaf di kalangan mereka, lalu perbezaan tersebut banyak membawa jatuh-menjatuhkan, runtuh-meruntuhkan dan kurang usaha untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati.
- Wujudnya golongan yang ingin menghancurkan mereka dari dalam seperti golongan yang ingin bekerjasama dengan musuh tanpa mengambil kira untuk memperkuatkan ikatan dalaman sesama mereka.
Kesan daripada faktor-faktor inilah umat Islam dibunuh atas restu Pope
dan ada yang dihalau keluar dari Andalusia, bahkan ada di antara mereka
yang terus diperangi lagi dan lagi walaupun sudah bersedia keluar dari
Andalusia. Musibah ini turut terpalit kepada kaum Yahudi, di mana tiada
kuasa yang boleh melindungi mereka setelah kerajaan Islam menjadi lemah
seterusnya runtuh.
0 Response to "Kisah Kejatuhan Kerajaan Islam di Andalus "
Posting Komentar